header image
 

Surat untuk mak.

 

 

 

Assalamualaikum mak. Moga kasih sayang dan rahmat Tuhan yang maha luas itu memayungi mak sampai bila-bila.

 

 

Ini yang pertama daripada wani. Meski wani sangat tahu ianya takkan mampu dibaca oleh mak. Tak mengapalah. Wani pun tahu juga wani takkan mampu menulis semua ini dan mengirimkannya pula ke tangan mak kala nafas mak masih lagi ada di jasad. Dalam keluarga kita kasih dan sayang itu sangat jarang dizahirkan dalam bentuk kata-kata. Tak mengapalah. Melayu tipikal memang macam itu. Tidak ada peluk cium, tidak ada kata-kata sayang, kasih dan cinta yang akan meluncur laju dari mulut-mulut kita. Tidak ayah, tidak mak, tidak kak anan, tidak kak dilah, tidak kak paliah, tidak abang am, tidak ahmad, tidak adik, tidak juga dari wani.   

 

 

Sakitkah mak sakaratulmaut? Kata abang Am mata mak sekejap-sekejap hala ke atas, ke siling. Kadang-kadang mak tersenyum. Apa yang mak senyumkan?

 

 

Waktu ajal mak makin hampir, semua orang nampak peluh halus-halus memercik di dahi mak. Entah di mana wani baca, pernah juga wani dengar dari mulut-mulut orang, itu petanda pemergian yang baik. Moga Tuhan menjemput mak pergi dengan lemah lembut dan penuh mesra.

 

 

Mak, waktu jenazah mak terbaring kaku di tengah tuang rumah, waktu tetamu yang datang menyelak kain penutup muka mak buat melihat mak kali terakhir, mak sedang tersenyum. Senyum mak senyum paling manis pernah wani lihat, sejak mak sakit, sejak sebelum mak sakit, itulah senyum mak yang paling manis dan paling tenang. Moga sampai saat ini, mak masih sedang tersenyum di alam sana. Amin.

 

 

Mak,

 

 

Sejukkah air yang jatuh ke atas kulit mak? Beberapa minggu sebelum mak menutup mata, di tempat wani belajar itu ada dianjurkan kursus pengurusan jenazah. Ini bukan kali pertama mak. Sebelum-sebelum ini sudah ada kursus yang serupa. Tapi kali ini terasa mahu bersungguh-sungguh belajar. Wani sudah terasa-rasa apa yang diajarkan itu akan wani guna untuk orang yang paling dekat dengan wani. Tuhan sudah memberi petanda tapi kita pula selalu terlupa dengan sengaja.  

 

 

Mak,

 

 

Waktu kain kapan sudah membalut sekujur tubuh mak, dengarkah mak yang ayah telah redhakan pemergian mak? Kata ayah, mak tidak ada dosa dengan ayah. Bukankah wanita itu laluan untuknya ke syurga sungguh mudah; sepanjang hayat mak, wani lihat sudah mak sempurnakan semua tanggungjawab mak. Dari solat lima waktu ke puasa Ramadhan ke zakat dan satu perkara yang kadang sukar diperoleh – redha suami. Mak, wani tak tahu apa yang mak tempuhi di alam sana, tapi mak sudah selalu menyiapkan bekal. Maka berbahagialah keberangkatan mak meninggalkan dunia yang fana ini. Insya Allah.

 

 

Terkilankah mak adik tidak sempat pulang melihat wajah mak buat kali terakhir? Janganlah terkilan mak. Adik tetap pulang. Malah adiklah yang mengimamkan doa kami semua untuk mak waktu ziarah kami ke pusara mak esok harinya. Dengarkah mak suara adik? Janglah mak bersedih, anak-anak lelaki mak adalah anak-anak yang baik hingga wani selalu merasa bahagia mempunyai abang dan adik seperti mereka.  

 

 

Mak,

 

 

Kalau dihitung-hitung, masih banyak yang mahu wani kongsi dengan mak. Tentang hidup, tentang perasaan, tentang masa depan. Mak tentu masih ingat pada Aizuddin. Tak perlu wani cerita lanjut-lanjut, mak sudah tahu rahsia hati wani. Tapi itu cerita lama mak. Dia pun sudah menjadi terlalu jauh untuk wani terus menaruh harap. Mak, ini tentang Muhsin. Calon menantu mak itu katanya mahu datang meminang bulan depan. Entahlah mak. Wani sudah menunggu terlalu lama. Lama hingga lelah dan letih. Hati perempuan wani ini kadang tercalar juga walau dapat diubat. Kalau dia benar-benar mahu, datanglah dengan sungguh-sungguh hatinya, maka wani pun akan menerima dengan  sungguh-sungguh hati wani pula. Biarlah. Soal jodoh walau sehebat mana kita merancang, masih kerja Tuhan yang menetapkan. Dan wani pun faham hidup di takah mana pun akan ada cabaran dan rintangan, sekali lagi, Tuhan punya kuasa tapi asa itu masih milik kita.

 

 

Cucu-cucu mak nanti takkan pernah kenal mak melainkan dalam gambar dan cerita dari mulut kami anak-anak mak. Apa yang akan wani ceritakan nanti mak? Kak Anan mak, sudah dekat masanya dia melahirkan cucu mak yang pertama dengan izin Allah. Dalam ramai-ramai anak perempuan mak, dialah yang paling mewarisi ketabahan dan kekuatan mak. Sebab itu ramai orang mudah sayang kepada kak Anan seperti juga ramai orang mudah sayang kepada mak. Moga ketabahan dan kekuatan itu mak turunkan juga ke dalam darah dan daging wani.  

 

 

Mak,

 

 

Bulan ini genaplah setahun mak pergi. Hari-hari selepas mak tiada terasa cepat datang dan hilang. Entah bumi ini memang berputar lebih laju daripada dulu, entah laju itu cuma suatu ilusi dek kalut-kalut manusia mengisi hari.

 

 

Mak,

 

 

Janganlah mak bersedih bila mendengar berita ini. Semua orang malah mak sendiri pun tahu besarnya kasih ayah pada mak. Siapakah yang lebih kelihatan sakit waktu mak sakit dulu? Siapakah yang lebih tidak lalu makan dan tidak dapat lena waktu mak tidak berselera dan tidak pula tidur nyenyak? Ayahlah orangnya. Lebih tiga puluh tahun hidup bersama dengan mak, siapakah orang yang paling sedih waktu mak pergi meninggalkan kami?

 

 

Mak,

 

 

Ayah sudah kahwin lagi. Khatijah namanya. Percayalah yang kasih ayah pada mak takkan pernah berkurang. Suami manakah yang mampu melupakan isteri setaat mak? Selepas mak tiada, ayah masih bercerita tentang kebaikan-kebaikan mak, tentang ketabahan mak, tentang kemurnian hati mak.

 

 

Mak, relakanlah ayah seperti kami anak-anak mak merelakan ayah mencari pengganti isterinya (meski kami semua pun tahu takkan ada sesiapa yang mampu menggantikan mak seluruhnya), sebab hati sebenarnya punya ruang yang tak terkira untuk kasih dan juga sayang.

 

 

Mak,

 

 

Mula-mula kami adik-beradik ralat juga mahu menerima orang baru. Tambah lagi mak masih belum lama meninggalkan kami. Tapi mak, hati ayah perlulah juga kita faham.  Selepas mak tiada, nampak benar ayah kesunyian. Pagi-pagi sebelum subuh ayah sudah ke surau. Kadang hingga ke Zuhur. Asar ayah ke surau lagi. Maghrib dan Isyak memang ayah tak pernah tinggal. Jarang-jarang ayah ada di rumah sejak mak tiada. Hingga pernah wani merasakan wani bukan saja kehilangan mak, tapi wani juga kehilangan ayah dengan pemergian mak. Mungkin diam di rumah buat ayah rasa lebih sepi lalu surau adalah tempat paling baik untuk ayah bermunajat. Bukankah setiap inci rumah ini penuh dengan bayangan-bayangan mak, hati siapakah yang tidak menjadi rindu? Dan rindu itu mak, adalah sakit paling dahsyat. Lebih menyayatkan bila kita tau orang yang kita rindu-rindu itu entah bila akan dapat kita ketemu lagi.

 

 

Maka wani sekarang ada mama, dan tentunya ada mak dalam hati yang tak boleh ditukar ganti. Kepada mama, yang baru wani jumpa minggu lalu, akan wani cuba menjadi anak yang baik. Bukankah itu ajaran daripada mak? Pulang dari Sarawak temph hari ada wani belikan beg anyaman untuk mama yang saat wani membelikannya, wani teringat pada mak. Mak tentu suka, beg itu boleh mak isi kain sembahyang dan buku-buku untuk ke surau. Mama pun suka juga, beg itulah yang wani lihat mama bawa ke surau sekarang ini. Kalaulah mak masih ada, itulah juga yang akan wani hadiahkan untuk mak.

 

 

Ya mak, wani sekarang sudah mengajar di Sarawak. Kalau mak masih ada tentu mak berat hati mahu melepaskan wani pergi ke tempat yang jauh, sama macam mak berat hati mahu biarkan adik belajar di luar negara. Tapi janganlah mak risau, wani insyaAllah akan menjaga diri di tempat orang. Seperti makcik Fatimah tempat wani menumpang di Melaka itu, orang-orang yang wani jumpa di Bumi Kenyalang itu juga sangat-sangat baik terhadap wani.

 

 

Janganlah mak risau, wani bahagia dengan apa yang wani ada sekarang, bukan macam waktu wani bekerja di makmal dulu yang mak pun selalu dengar wani mengadu itu ini. Bukan wani sengaja suka-suka mahu merungut mak, entah kenapa wani rasa suasana kerja di situ tak serasi benar dengan wani.

 

 

Di Sarawak itu mak, lain benar rasanya dengan di Semenanjung. Belum pernah wani menangis kerana rasa terbeban dengan hidup di sana. Semuanya indah dan bahagia. Sebab itu wani selalu rindu mahu pulang ke sana. Bukanlah bermakna di Semenanjung tempat lahir wani ini sudah tidak ada kegembiraan lagi, ia tetap tanah yang akan sentiasa wani rindukan, cuma lagi wani sekarang sedang belajar apa itu redha dan syukur dan sedang merasai luasnya kasih sayang Tuhan. Doakan kebahagiaan ini akan terus wani rasai sampai bila-bila.

 

 

Mak,

 

 

Dulu pernah mak marahkan wani bila wani kata mahu belajar di Universiti Multimedia di Cyberjaya itu. Mak kata, siapa nanti akan menghantar wani belajar jauh-jauh; walaupun semua orang tahu MMU itu bukanlah jauh sangat. Jadi wani pun belajar di UM. Dekat dengan rumah, sebelah dengan tempat kerja mak. Walaupun UM tidak banyak mengajar wani hidup berdikari, tapi cukup untuk mengajar wani besarnya kasih dan pengorbanan mak. Mak, wani sudah tidak terkilan lagi tidak dapat belajar di MMU. Malah wani akan lebih-lebih terkilan kalau wani dulu belajar di MMU; di UM itulah banyak masa wani terluang bersama mak.  

 

 

Mak,

 

 

Dunia yang penuh warna ini kadang terasa perit walau wani tahu itulah sebenarnya hidup. Wani anak mak ini bukanlah sekuat mana untuk melalui semuanya sendiri. Kadang ada masa-masa yang wani terlupa asal diri, tertinggal jati diri lalu jatuh tersungkur dalam lumpur hitam yang memualkan. Untuk bangun dan berdiri dan mencuci kembali palit kotor yang lekat bukan senang mak. Tapi bukankah anak mak ini masih belum menyerah dan belum kenal putus asa? Dan bukankah rahmah dan rahman Tuhan itu seluas angkasa? Akan wani cuba bangun dan berdiri lagi, mencuci hati, memaknakan kehidupan dengan lebih lestari. Nanti, wani pun mahu pergi ke alam yang satu lagi dengan dada yang lapang, seperti mak.

 

 

Mak,

 

 

Yassin untuk mak. Al-Fatihah untuk mak. Al-Mulk untuk mak. Malah setiap huruf dari lembaran suci Al-Quran juga zikir-zikir yang terbit dari mulut wani ini untuk mak. Sampai wani terfikir kalau semuanya untuk mak, apakah lagi pahala yang tinggal untuk wani yang bukannya rajin mana ini. Tapi Tuhan datangkan ilham, yang tinggal untuk wani adalah pahala hadiah, pahala menjadi anak yang selalu mendoakan ibu bapa. Wani mahu jadi harta mak dan ayah yang paling berharga. Biar mak dan ayah bahagia biarpun di alam mana.

 

 

Sekian dulu, mak. Penat sudah wani menyeka air mata yang gugur dengan setiap patah kata yang wani taip ini (Jangan risau mak, masih banyak perkara di dunia ini yang akan buat wani tersenyum). Nanti wani menulis lagi.

 

 

Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh.

 

 

Aku Hanya Guru Baru Dari Semenanjung.

 

 

Asal aku dari Semenanjung. Diletakkan mereka aku di tempat yang tidak pernah aku kenal. Sarawak, Samarahan, Serian,  SK Merbau. Sekurang-kurang nama sekolah itu tidaklah asing, sekurang-kurang aku pernah diberitahu tentang wujud pohon bernama merbau, sekurang-kurang pada hari pertama aku dikhabarkan nama sekolah itu aku dapat merasakan Merbau itu bukanlah asing sangat. Kemudiannya baru aku tahu SK Merbau letaknya di antara dua buah Kampung bernama Meboi dan Junggu Mawang, yang memang mendatangkan kejanggalan kala disebut-sebut oleh lidah Melayu yang kononnya datang dari bandar macam aku.

                                           

Di suatu minggu entah minggu keberapa aku bermastautin, di hari yang aku ingat sebagai hari Selasa,  di waktu aku mengajarkan Sains di kelas Tahun Lima yang muridnya hanya tiga belas orang dan ada yang tidak tahu membaca itu, di saat aku dengan lagak guru profesional dan serba tahu di depan anak-anak Iban menerangkan satu-satu istilah haram jadah bahasa penjajah bahana pi-pi-es-em-ai  yang kononnya sungguh intelektual dan global itu, di celah-celah cermin tingkap kaca yang ternganga luas, berdiri seorang nenek tua dengan pandangan penuh misteri seribu erti. Dek faktor ketinggian yang tak seberapa, dari tingkap kelas yang terlihat oleh pandangan cuma aras kepala si nenek; cukup untuk menambahkan sensasi misteri dan tanda tanya.

 

Matanya, matanya tepat merenung aku.

 

Oh. Mungkin nenek sesiapa yang cucunya ada di situ.

 

Oh. Mungkin nenek sesiapa yang cucunya ada di situ baru pulang dari mengambil cucunya itu.

 

Oh. Mungin nenek sesiapa yang cucunya ada di situ baru pulang dari mengambil cucunya itu tiba-tiba terniat mahu bersinggah sebentar di depan kelas aku mengajar.

 

Oh. Mungin nenek sesiapa yang cucunya ada di situ baru pulang dari mengambil cucunya itu tiba-tiba terniat mahu bersinggah sebentar di depan kelas aku mengajar kerana terpana dengan topik Food Chain and Food Web yang aku ajarkan hari itu.

 

Seminit. Dua minit. Tiga minit. Sepuluh minit. Matanya, matanya tepat merenung aku. Bibirnya, bibirnya sedikit pun tak tersenyum. Umpama nenek kebayan yang menunggu santapan di balik jeriji besi dalam dongeng Hensel dan Gretel. Kalau kau rajin membaca waktu kecil-kecil dulu kau tentu tau.

 

Asal aku dari Semenanjung. Diletakkan mereka aku di tempat yang tidak pernah aku kenal. Iban itu hanya suatu kaum yang disebut-sebut dalam Buku Teks Sejarah dan Geografi sebagai penghuni pribumi terbesar Bumi Kenyalang, diam di rumah panjang, merayakan Hari Gawai dan menarikan tarian Ngajat. Tidak lebih dan tidak kurang yang aku tau. Aku marahkan kerajaan Malaysia, err, barisan pemerintah dan penggubal dasar maksud aku. Aku tak marahkan rakyat.

 

Nenek itu, masih di situ, di depan tingkap memerhatikan aku. Tanpa senyum. Tanpa suara. Tanpa apa-apa reaksi. Cuma berdiri tegak. Merenung dan terus merenung.

 

Aku rasa pengajaran aku jadi terhenti-henti. Sebagai guru yang selalu menasihati pelajarnya agar memberi tumpuan seratus peratus dalam bilik darjah dan jangan pedulikan gangguan luaran, aku seboleh mungkin mengelak renungan nenek kebayan misteri.

 

Asal aku dari Semenanjung. Diletakkan mereka aku di tempat yang tidak pernah aku kenal. Dari mulut-mulut manusia yang selalu sukar mahu berhenti bercakap, aku mendengar bangsa Iban ini sebenarnya pakar dalam ilmu-limu kebatinan. Juga mereka terkenal sebagai kaum yang pendendam, berani, beriltizam, dan mempunyai keazaman yang jitu. Biasa kan kau dengar orang-orang rumah panjang memenggal kepala sesiapa yang dianggap pengkhianat. Teringat aku pada cerita seorang kawan bagaimana seorang guru, yang juga baru, diberi racun dalam makanan sehingga mati hanya kerana dia dengan dasar kasih sayang dan rasa ingin membantunya menghadiahkan si anak murid sebotol ubat kutu. Malangnya keprihatinan guru dilihat sebagau suatu penghinaan.

 

Salahkah aku datang dari jauh untuk mencari rezeki dengan cara ini? Kalaupun aku menyebut patah-patah bahasa yang tidak pernah kau kenal wahai nenek, fahamilah yang aku sendiri pun merasa loya menuturkan frasa yang tidak difahami oleh anak-anak bangsaku. Jangan salahkan aku, itu dasar kerajaan. Salahkan kerajaan yang memerintah. Salahkan pembuat dasar. Aku Cuma orang bawahan yang selalunya harus menjadi penurut perintah. Itupun aku memberontak sendiri-sendiri. Aku mahu mengajarkan konsep sains, bukan istilah-istilah yang membelitkan lidah, bukan.

 

Atau yang sebetulnya terpesonakah nenek itu dengan teori-teori pembelajaran aku hari ini? Jika ya, berbanggalah aku sekurang-kurang untuk hari itu kerana perempuan tua entah dari ceruk mana itu dalam hatinya telah tumbuh rasa ingin terhadap ilmu meski yang diajarkan aku itu sekadar seurat daun dari sekian jutaan daun dalam sebuah hutan hujan yang kaya. Tempat yang bekalan elektriknya masih tidak ada dan mandi dengan air terus dari bukit ini sebenarnya sangat kurang amalan membudayakan ilmu. Mungkin nenek tua ini bakal jadi perintis kepada keterbukaan minda masyarakat setempat untuk menghargai ilmu. Mungkin.

 

Mungkin nenek tua itu benar-benar nenek kebayan berkuasa magis dengan ilmu sakti-sakti yang diutus untuk memantau pergerakan orang luar seperti aku yang berbeza agama bangsa dan budaya sekaligus menghalang kemaraan sebarang anasir yang dikira mampu mengganggu-gugat adat dan kelaziman mereka. Mungkin.

 

Aku hanya guru baru dari Semenanjung. Maafkan aku jika aku tak mengerti apa-apa tentang tatacara dan budaya di sini. Maafkan aku kalau dalam tutur kata dan tunjuk ajarku ada hati-hati yang tercalar dan berdarah. Sungguh aku datang membawa pensil dan kertas bukan pisau dan keris.

 

“Cikgu, nak beli sayur?“,

 

Suara lantang seorang murid yang duduk di barisan paling belakang menghilangkan semua igauan.

 

Cepat-cepat aku ke pintu bilik darjah, menyambut nenek kebayan yang waktu itu sudah hilang kebayannya, sudah hilang sakti dan magis dan misterinya. Yang ada di hadapan aku adalah seorang tua yang baru pulang dari kebun dan singgah di sekolah menjual hasil-hasil tanaman. Dan oh, nenek itu sebenarnya boleh tersenyum.

 

Dua ringgit dan seplastik terung bulat sebesar penumbuk bertukar tangan.

 

(Cis. Buat saspen je. Cakap la awal-awal nak jual terung.)

 

Aku sambung pengajaran yang terhenti akibat akad jual beli. Selang beberapa minit, nenek kebayan yang sudah hilang kebayannya, sudah hilang sakti dan magis dan misterinya itu tiba-tiba pula muncul di luar tingkap yang membelakangi aku. Kali ini dengan pisang tanduk.

 

 

Salam Samarahan.

(Ini aku tulis di minggu-minggu awal keberadaan aku di Samarahan.)

 

 

Salam dari Serian, Samarahan, Sarawak.

 

 

Pertama, terima kasih untuk sahabat-sahabat yang meninjau peta Sarawak semata-mata untuk melihat mana letak duduknya Samarahan. Ya, Samarahan itu bahagian yang terletak di sebelah Kuching. Bunyi macam okey kan. Ya, memang okey. Tapi perlu diingat Sarawak itu negeri yang luas dan masih sangat kaya dengan hutan. Okey, kalau bukan hutan dara mahupun hutan khatulistiwa yang tua, ia masih kaya dengan hutan belukar.

 

Kedua, maaf untuk sms-sms dan panggilan-panggilan telefon yang kadang-kala tanpa sengaja diabaikan, atau dijawab dengan sungguh tidak bernada mesra. Dalam status emosi dan mental yang terganggu, dengan tempat dan budaya yang serba baru, aku perlukan sedikit ruang dan waktu.

 

Ini imbasan peristiwa setelah dua minggu. Bacalah hanya bila ada masa lapang sebab ia akan menjadi sebuah catatan yang panjang. Sudahlah panjang, ditulis pula dengan tidak bergaya dan sangat sederhana sesuai dengan kondisi emosi di ketika ini.

 

Aku kira yang akan hanya mencari cabaran adalah perjalanan dan kehidupan setelah tiba. Rupanya agenda mengemas barang-barang untuk dibawa pun sudah menjadi cabaran yang cukup memeningkan kepala. Harus diingat ini bukan percutian atau perkhemahan seminggu dua. Dengan destinasi yang masih rahsia dan tempat yang diluar jangka dengan pelbagai kemungkinan, apa yang harus dibawa? Perlu diingatkan juga ini bukan perjalanan bersantai-santai melihat negeri orang.

 

Atas nasihat sekian rakan, aku bawa sebuah beg yang penuh baju dan diselit-selitkan beberapa buah buku. Okey, aku boleh hidup tanpa tv, tanpa radio, tanpa hp, tanpa laptop, tanpa internet, tanpa bedak dan tanpa baju lawa tapi aku rasa aku tak mampu hidup tanpa buku. Atau sekurang-kurangnya bersama dengan aku perlu ada sebuah buku catatan. Err, aku segan mahu panggil ia diari, jadi aku panggil jurnal supaya kedengaran lebih ilmiah dan sofistikated.

 

Pertama kali naik kapal terbang. Ya, aku memang tak pernah ke mana-mana tempat yang jauh. Jadi fahamilah keterujaan dan kegembiraan ini. Penerbangan dengan kawan-kawan, pramugari cantik macam patung barbie, pemandangan malam dari aras awan; perjalanan ini adalah pengembaraan gembira yang biasa-biasa.  

 

Kuching bukanlah jauh sangat dari Semenanjung. Kurang dua jam pesawat dah pun selamat mendarat. Dari lapangan terbang, dengan bas sekolah ala rombongan cik kiah kami dibawa ke tempat penginapan sementara. Waktu tu ada dalam sembilan puluh orang guru-guru KPLI dari Semenanjung. Ramai? Sekali lagi diingat Sarawak bukanlah sebesar Selangor.

 

Malam pertama di Sarawak umpama percutian bulan madu. KPM sungguh bermurah hati menyajikan kami penginapan percuma di hotel bertaraf lima bintang siap dengan pakej sarapan pagi dan minum pagi. Aku rasa rugi sebab naik pernerbangan malam dan sampai pun hampir tengah malam hingga kemewahan sementara itu tak dapat dinikmati sepenuhnya.  

 

Apapun, tidur beralas tilam empuk dalam bilik berpendingin hawa yang berhias cahaya lampu romantis itu seolah-olah igauan ngeri yang mengiringi setiap lena dan mimpi. Semua pun tahu hidup nanti tak akan jadi seindah itu.   

 

Pagi; taklimat selepas sarapan pagi. Setelah keselesaan yang memujuk, masih di sumbatkan ke telinga-telinga kami kata-kata yang menyejukkan hati.

 

Oh. Untuk penempatan pertama sebagai guru ini sungguh banyak kejutan. Pertama engkau akan ternanti-nanti negeri tempat posting. Setelah itu kau akan ternanti-nanti pula bahagian mana, lepas itu daerah mana, lepas itu kawasan, lepas itu sekolah, lepas itu rumah. Dan banyak lagi yang akan datang selepas-selepas itu.  

 

Sekolah aku; SK Merbau, daerah Serian dalam bahagian Samarahan. Namanya macam okey kan. Sekurang-kurang kita semua tau Merbau itu nama pokok. Tidaklah terasa thrill sangat seperti kawan-kawan lain yang nama sekolahnya sungguh asing dipendengaran. Gahat Mawang, Semukoi, Temiang, Sageng, dll. Cuma, cuma, aku sedikit kecewa sebab sekolah itu hanyalah sekolah luar bandar, bukan pedalaman. Tak perlu pun berhelikopter berperahu bersampan.

 

Lima orang dari maktab dan kelas yang sama, hanya aku dan Huda di daerah Serian. Akmar, Mira dan Nurul daerah Simunjan, lebih jauh lagi. Mereka berangkat lebih dulu dari aku dan Huda.

 

Dari hotel Merdeka Palace Kuching kami diangkut ke Pejabat Pendidikan Daerah Serian. Sekurang-kurang dalam perjalanan sejam setengah itu aku masih ada Huda. Kemudian diambil pula oleh guru besar sekolah masing-masing. Itulah saat perpisahan yang benar-benar terasa sebab selepas itu aku tinggal sendiri, tidak tahu bila lagi akan berjumpa dengan Huda, dengan Akmar, dengan Mira, dengan Nurul.

 

Guru besar sekolah aku bukanlah mesra sangat dan tidak pula banyak cakap. Tapi sepanjang perjalanan setengah jam dari PPD Serian ke SK Merbau, ada juga diceritakan pada aku tentang kawasan itu yang masih mundur, tentang bekalan letrik yang belum ada, tentang sekolah yang berprestasi rendah dan keputusan-keputusan ujian yang membimbangkan. “Guru-guru veteran, tak ada kesungguhan nak memajukan bangsa sendiri..“, aku hanya mendengar, kemudiannya baru aku faham guru besar meletakkan kegagalan sekolah di bahu para guru.  Sedikit waktu kemudiannya aku juga faham guru bukanlah satu-satunya punca ketidakcemerlangan murid.

 

SK Merbau letaknya di atas bukit yang tidak tinggi dan di bawah bukit yang juga tidak berapa tinggi. Kalau di bandar-bandar,  selalu kita dengar istilah ‘sekolah dalam taman’, di kawasan luar bandar ini biasakanlah diri dengan sekolah dalam hutan. Bangunan sekolah hanya satu tingkat dengan binaan batu dan kayu bercampur.

 

Sebagai satu-satunya guru dan orang dari semenanjung di situ, keterasingan dan kejanggalan itu sudah tentu amat dirasa. Mujur ada Rosita, guru Melayu Sarawak yang beragama Islam. Sekurang-kurang aku tak bersendiri dalam bab agama, hukum hakam, makan minum dan pantang larang. Cuma lagi bahasa Sarawak itu sendiri sudah sukar difahami. Belum dikira bahasa Iban yang menjadi bahasa utama guru besar, guru-guru, murid-murid, pekerja-pekerja dan isi sekolah seluruhnya. Oh. Selain aku dan Rosita, guru lain semua berbangsa Iban. Baik guru mahupun murid, tidak ada yang muslim selain kami berdua.

 

Tempat tinggal; dalam kawasan sekolah ada rumah kayu kecil. Tiga buah semuanya yang bersambung-sambung. Satu rumah guru besar yang ditumpangkan kepada seorang guru perempuan, cikgu Mary Sungkin. Rumah tengah milik cikgu Amai dan keluarga, bangsa Bidayuh. Rumah yang aku tumpang berjiran dengan cikgu Amai, sudah dihuni oleh dua perempuan bujang. Rosita Wasli, seorang lagi Dianna John– pembantu pra sekolah bangsa Iban beragama Kristian.

 

Rumah itu ada satu bilik, satu ruang depan. Untuk ke dapur dan tandas kau harus turun ke bawah ke satu bahagian yang tidak bersambung dengan rumah. Jaraknya cuma satu setengah meter. Oleh kerana bekalan letrik masih belum ada, kawasan sekolah masih sangat bergantung kepada generator. Malangnya generator akan ditutup pada pukul tiga petang siang hari sebelum bersambung semula pukul enam. Malam; pukul sepuluh segala aktiviti selain tidur akan terhenti sebab seluruh kawasan  sudah bergelap. Okey. Sudahlah aku ini jenis yang suka berjaga malam sebab malam aku rasa selalu memberikan lebih ilham. Tak mengapalah, mungkin ini masanya aku kembali kepada fitrah. Generator yang direhatkan awal usahlah diharap akan kembali bergerak awal pagi. Mandi pagi dan lain-lain kegiatan pagi harus berteman lilin atau lampu suluh.

 

 Di kawasan seperti itu juga kau akan rasa mandi bersumber air bukit. Kadang-kadang air bukit ini berwarna keruh dan bercampur dengan pasir-pasir. Pagi yang dingin akan terasa menyeksakan bagi mereka yang kurang daya tahan melawan sejuk. Itulah juga air yang akan diguna untuk memasak dan minum. Oh. Di tempat seperti ini banyak keinsafan yang akan kau rasa. Kalau di rumah aku di Selangor itu, minum selalu air bertapis, lebih selalu ayah beli air mineral yang jernih dengan sumber yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kalau di rumah makcik di Melaka itu pula aku minum air bertapis formula Dr. Sukida. 

 

Masyarakat Iban sangat akrab dengan anjing. Jadi kau akan temui anjing-anjing berkeliaran di mana-mana, hatta di dalam kawasan sekolah. Syukurlah aku tak fobia pada anjing. Seekor anjing yang membesar di sekolah,  Blacky namanya, akan selalu ditemui tidur dan bersantai-santai di depan bilik-bilik darjah. Malam harinya dia akan tidur di serambi dekat pintu depan rumah kami. Blacky anjing tua yang kurus. Badannya penuh kutu. Kalau ia baring di kaki lima sekolah, kutu-kutu badannya yang kekenyangan akan merayap ke dinding dan lantai-lantai. Kutu-kutu yang gemuk dengan darah itu selalu pula akan menjadi perhatian anak-anak sekolah, yang akan sengaja memijak dan serentak dengan itu akan terhamburlah darah-darah dari badan kutu yang lenyek. Darah-darah si Blacky ini akan mencipta corak abstrak pada dinding-dinding dan lantai-lantai sekolah hingga pekerja sekolah perlu mengecat semula bahagian-bahagian yang dikotori. Boleh bayangkan kutu anjing? Saiznya lebih kurang tujuh kali ganda lebih besar dari nyamuk.

 

Dulu di sekolah kita pernah diajar Sarawak itu kaum terbesar yang menjadi penghuninya ialah Iban. Ada juga Bidayuh dan lain-lain. Dulu aku merasakan suku-suku kaum itu adalah sub kepada kaum Melayu. Macam kita ada Melayu Minang, Melayu Pattani, Melayu Jawa, Melayu Banjar, Melayu Bugis, dan sekian-sekian. Apa pun pecahan sukunya, masih berdiri atas nama Melayu. Tapi, tapi, di Sarawak ini Melayu adalah Melayu, Iban adalah Iban, Bidayuh adalah Bidayuh. Walaupun kaum Iban dan Bidayuh itu pakainya tetap pakaian Melayu, makannya masih tak jauh beza dengan Melayu, bahasanya masih sarat unsur bahasa Melayu, rupa mereka pun masih rupa orang Melayu (Mereka pun menonotn Juara Lagu dan filem-filem Tan Sri P.Ramlee dan sinetron-sinetron Indonesia tak ubah macam orang Melayu).

 

Dan oh ya, ada di antara mereka bersikap perkauman terhadap kaum Melayu, hanya kerana mereka Iban.  Membesar di tengah-tengah masyarakat multi kaum mengajar aku supaya tidak menjadi racist.  Sungguh aku sayang dengan Melayuku tetapi tidaklah itu bermakna aku perlu memandang serong dan benci dengan kaum lain. Memang aku tak sanggup melihat bangsa aku merempat dan terhina tetapi  aku pun tak mahu bangsa-bangsa lain menderita. Isu perkauman ini nanti-nantilah aku tuliskan dalam entri yang lain.

 

Sarawak itu, walaupun letaknya dalam Malaysia yang kononnya kita kenal dan bangga dan cinta dengan segala perpaduan dan kepelbagaian kaumnya,  sebenarnya masih sangat terpisah dari Semenanjung. Orang-orang Sarawak masih memanggil Semenanjung itu sebagai Malaya seolah-olah ia sebuah negara lain yang jauh. Kadang-kadang aku dan kawan-kawan pun tersasul menyebut Tanah Semenanjung sebagai Malaysia, ayat biasa - “Rindu nak balik Malaysia“, macamlah kami yang sekarang ini bukan berada di Malaysia (dan jujurnya itulah yang kami rasa). Aku pun merasakan aku lebih kenal bahasa Indonesia daripada bahasa-bahasa penduduk Sarawak.  

 

Sekolah; sekolah prestasi rendah dengan murid hampir 100 orang. Kampung sekitar sekolah aku bukanlah mundur sangat. Anak-anak setempat yang rata-rata berbangsa Iban adalah anak-anak comel yang kemas pakaian dan lengkap peralatan sekolah. Jarang yang datang ke sekolah dengan baju selekeh, berkaki ayam, rambut tak bersikat dan berbau hamis - situasi yang aku yakin ada di bahagian-bahagian luar bandar yang lain. Bahasa harian – Iban. Ya, aku tak faham. Mengajar tahun satu adalah tugas paling mencabar. Sudahlah bahasa Melayu itu masih asing pada pendengaran mereka, bahasa Iban pun tak pernah aku dengar, seringkali komunikasi bagaikan percakapan antara itik dengan ayam.

 

Di luar bandar tidak ada sekolah-sekolah pendidikan khas macam di bandar. Jadi kadang-kadang dalam kelas kau akan temui murid istimewa. Seorang murid tahun empat di kelas yang aku ajar, ada masalah gangguan mental. Dia jarang faham apa yang orang lain cakap, air liur menjejer-jejer, dan yang selalu memeningkan kepala, suka pula mengganggu rakan-rakan. Kadang buku kawan sebelah dirampas dikoyak-koyak, kadang pemadam pensil kawan disorokkann, kadang terjerit entah apa hujung pangkal. Tak mengapalah. Di sekolah seperti itu, akulah cikgu sains, akulah cikgu pj, akulah cikgu seni, akulah cikgu kajian tempatan, akulah cikgu sivik, akulah cikgu moral, akulah cikgu muzik. Aku juga guru pendidikan khas dan guru pemulihan.

 

Hujung minggu pertama, menumpang di kampung Rosita, juga menumpang sama ke bandaraya Kuching dalam hujan yang tak mahu berhenti. Sepanjang perjalanan aku terasa-rasa bahagia seolah nanti aku akan terserempak dengan mana-mana kawan semaktab, walaupun, walaupun aku tahu kebarangkaliannya sangat-sangat tipis. Lagi pula hp aku tertinggal di rumah sekolah maka untuk tiga hari itu aku tak dapat berhubung dengan sesiapa pun. Tapi aku masih percaya pada rahmat dan kasih sayang Tuhan. Juga aku percaya dunia ini selalu penuh dengan keajaiban.

 

Melangkah masuk ke sebuah kedai kasut, aku dengar suatu suara yang sangat aku kenal memanggil-manggil nama aku dengan penuh keterujaan – Huda. Aku rasa Huda bagaikan bidadari dari langit yang sengaja Tuhan turunkan untuk aku. Aku rasa shopping complex itu taman aneka warna yang turut sama merai dan manjadi saksi pertemuan semula dua jiwa.  Okey. Melampau? Itulah apa yang aku rasa. Bayangkanlah seminggu aku tak berjumpa dengan orang dari Semenanjung, yang boleh berkongsi bahasa yang sama dan rasa yang sama. Bayangkan dalam bandaraya Kuching yang ada banyak shopping complex dan sekian ramai manusia dan puluhan ribu kedai itu Tuhan telah temukan kami pada suatu titik. Bukankah ia seperti suatu keajaiban? Tuhan sebenarnya menyusun hidup dengan rencana yang sungguh sempurna.

 

Di Tabuan Jaya, takdir Tuhan menemukan pula aku dengan Nurul. Oh. Ohh. Kalau Huda bagaikan bidadari langit, Nurul pula umpama pari-pari syurga. Yang sengaja Tuhan utuskan untuk menjadi penyeri hari aku. Cuma saja aku tak ada banyak masa untuk bersembang panjang dengan mereka sebab masing-masing hanya menumpang orang.

 

Apapun, sempat aku dengar cerita Huda tentang sekolah yang kurang murid, tentang pengalaman melintas kampung masyarakat Iban dengan anjing dan babi berkeliaran untuk ke air terjun di hujung kampung (aku cemburukan ini), tentang sumber air dari gunung, tentang makan yang selalunya hanya makanan dalam tin, tentang tarikh nikah dia yang tiba-tiba mahu dicepatkan. Juga cerita Nurul tentang rumah guru daripada kayu yang bergoyang-goyang dengan lantai kayu yang jarang-jarang, tentang pengalaman terperosok kaki di celahan kayu dalam jamban yang menyebabkan fobia dan keinginan untuk pulang ke semenanjung secepat mungkin membuak-buak. (Ini baru cerita beberapa orang rakan, di tempat yang lain kau akan dengar pengalaman yang lebih dahsyat seperti bot karam hingga tinggal sehelai sepinggang, perjalanan menaiki bot berjam-jam, rumah kediaman atas sungai, berhujan sampai segala isi beg basah lencun, terpaksa menolak perahu, memanjat tebing bila air surut, dll).

 

Entah kenapa, aku merasakan yang aku akan lama di Sarawak. Dalam kalut rakan-rakan mengatur tarikh pernikahan dan impian-impian untuk mengisi borang pertukaran balik sesegera mungkin, entah kenapa aku bercadang mahu berada di Bumi Kenyalang ini sekurang-kurangnya untuk tiga tahun yang akan datang.

 

Sampai waktu itu, aku berharap agar kepayahan, kesusahan, kerisauan, kerinduan, dan kesendirian di bumi asing ini sudah mendarah daging menjadi sebati dalam diri - hingga aku menjadi lali. Sekurang-kurang bila aku pulang nanti aku akan menjadi lebih baik serba-serbi dari hari ini. Dan bila aku pulang suatu hari nanti biarlah yang aku bawa adalah cerita-cerita bahagia, bukan lagi cerita-cerita derita dan sengsara seperti hari ini. Mudah-mudahan. Amin.

 

 

Mutiara Laut Dalam?

 

Sebenarnya nama yang aku beri untuk blog-blog aku tidak ada kena mengena dengan mana-mana mutiara yang terdapat di lautan dalam.

Kenapa ‘Mutiara Laut Dalam’?

Sebab pada suatu ketika dulu entah di mana, entah betul entahkan rekaan semata-mata, aku pernah terjumpa yang ‘wani’ bermaksud ‘mutiara’. Sebab aku mempunyai perasaan segan dan terasa kemalu-maluan mahu memampangkan nama aku sebagai tajuk blog, maka aku mencari perkataan alternatif sebagai samaran yang secara tersiratnya masih menyelitkan identiti diri aku. Sebab aku suka laut, maka aku tambahkan ‘laut’. Sebab laut pada kedalaman tertentu bagi aku selalu punya misteri tersendiri, jadi aku sambungkan ‘dalam’.   

Kadang-kadang aku pun merasa tajuk blog aku kurang bersesuaian kerana perkataan ‘mutiara’ bunyinya sungguh kegadisan serta seakan-akan melambangkan keobsesan terhadap barangan kemas sedang hakikatnya aku tak begitu berminat dengan barang perhiasan diri lebih-lebih lagi dari jenis mutiara. Owh, kalau mahu belikan cincin nikah untuk aku nanti, belikan emas putih. Lalala.

Kadang-kadang aku merasa suka dengan mutiara kerana dihikayatkan yang mutiara sebenarnya berasal daripada sebutir pasir yang telah sekian lama bersemadi di dalam tiram dan akhirnya bertransformasi menjadi bebola yang berkilauan. Aku suka juga dengan cerita seorang penyelam yang menjumpai seekor tiram gergasi di dasar lautan, dia dengan suka hatinya berharap akan menjumpai mutiara paling cantik dan bermutu tinggi, malangnya yang ditemui di dalam rahang tiram tersebut hanyalah sebutir pasir tak berharga. Dalam hidup ini, apa saja mungkin. Dengan izin Tuhan.

Ini yang aku jumpa ketika saja-saja mewiki tanpa tujuan yang pasti:

 

From Wikipedia, the free encyclopedia

Wani may mean:

 

Mungkin selepas ini aku perlu tukar tajuk blog aku kepada “Rasaksa Laut Dalam”.

Imbasan 2008.

 

Januari -

Hari-hari awal Januari saya masih pekerja di sebuah makmal swasta. Yang hari-hari awal Januari tahun sebelumnya saya selalu menangis di bawah tangga setiap kali sebelum masuk kerja. Menjadi saintis tak pernah ada dalam senarai cita-cita saya. Setahun di makmal sebenarnya penuh dengan cerita yang sangat jarang saya ceritakan pada sesiapa. Nanti-nantilah.

Dapat tawaran KPLI. Okey. Saya hepi. Masih saya ingat seorang kawan yang jauh sangat teruja dan beriya memberitahu saya tentang iklan permohonan KPLI, sebab dia rasa saya sesuai jadi cikgu. Terima kasih (kerana selalu mempercayai di kala saya sendiri tidak yakin dengan diri). Takkan saya lupa juga detik-detik kekanda menghantarkan saya ke tempat ujian MTest dan menyanyikan lagu Guru Malaysia sebagai tanda sokongan. Saya rasa terharu.

Adik terbang ke pulau Tasmania. Melanjutkan harapan ayah dan mak yang dulu disandarkan kepada kak Dilah dan saya. Kak Dilah tarik diri dari kursus perubatan sebab dia lebih berminat mahu jadi saintis. Saya pula memang tak diterima ke mana-mana kursus perubatan di IPTA dalam negara akibat lebih banyak mengkaji persoalan dunia daripada menelaah buku pelajaran. Ok. Saya tidak rajin belajar. Lagi pula doktor hanyalah cita-cita yang sering saya tulis dalam borang-borang sebab waktu itu hampir semua student biologi akan tulis doktor dalam senarai cita-cita sedang hakikatnya saya tak suka jumpa doktor dan benci klinik. Dalam keluarga, bila salah seorang ahli tak ada, semua aktiviti akan menjadi kurang berseri. Ketiadaan adik buat saya rasa kehilangan.

Mak disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat. Selepas itu banyak hari-hari sedih dan sendu yang perlu dilalu. Sebelum ini saya rasa kanser hanya penyakit yang selalu ada dalam drama-drama sekadar untuk menambah rencah pada cerita. Rupanya ia pun ada dalam hidup orang biasa-biasa.

Saya ke Melaka. Sekolah bakal guru yang khas untuk perempuan Melayu terakhir itu adalah tempat yang gembira. Kan saya sangat suka sekolah. Kembali belajar di dalam kelas dan berguru dengan insan yang dipanggil ‘cikgu’ adalah pengalaman yang sentiasa menghangatkan perasaan.

 

Februari -

Di sekolah bakal guru. Berkawan. Belajar. Bermain. Hidup sentiasa penuh dengan harapan.

 

Mac -

Saya dan kekanda sama-sama menginjak usia suku abad. Entah bagaimana ia dirai saya sudah lupa.

Program berasaskan sekolah selama dua minggu. Lebih kepada aktiviti melawat sekolah dan menjinak-jinakkan diri dengan alam sekolah. SK Semabok adalah sekolah pertama yang saya jejak setelah sekian lama meninggalkan dunia sekolah rendah. Hampir menitiskan air mata keharuan waktu anak-anak Semabok menyanyikan lagu Negaraku dan lagu sekolah. Terasa agak melampau ekspresi emosi ketika itu.

 

April -

Masih di sekolah bakal guru yang penuh dengan perempuan-perempuan Melayu. Berkursus itu ini. Pertama kali sembelih ayam. Pertama kali berpidato di khalayak umum dengan tajuk ‘Mulut Perempuan Lebih Teruk Daripada Mulut Tempayan’, sebagai penyokong penuh. Pertama kali berkayak. Pertama kali berakit. Pertama kali mengendong ayam hidup semasa berkembara di dalam hutan yang kemudiannya dijadikan santapan.

 

Mei -

Saya tak ingat apa-apa peristiwa besar tentang Mei waktu ini. Daya ingatan saya sudah semakin merosot dari hari ke hari.

 

Jun-

Mak sudah tiada di dunia.

Aira menamatkan zaman bujang. Satu-satunya majlis pernikahan teman yang saya hadiri. Mungkin kerana telah disetkan dalam fikiran sejak sekian lama yang saya mahu ada dan meraikan sama hari berbahagia itu, mungkin sejak zaman sekolah-sekolah lagi waktu kami selalu berjalan pergi dan balik bertiga. Sekian ramai lagi yang berkenduri tak sempat pun saya pergi.

Mula berpraktikal di SK Masjid Baru Asahan Melaka. Sekolah luar bandar yang memperkenalkan saya pada apa itu mengajar secara real. Ok. Sekolah masih tempat yang gembira dan riang-ria.

 

Julai -

Kak Anan dan Kak Dilah bernikah. Selepas adik, selepas mak, baru saya tersedar saya rupanya kehilangan lagi. Tak mengapalah. Hidup kan berubah-ubah. Bersedia atau tidak, redhakan saja. Melihat dari sudut pandang positif, saya tak kehilangan apa-apa pun, malah menerima lebih banyak.

 

Ogos -

Masih bulan praktikal. Masjid Baru di Asahan itu bersebelah dengan Nyalas dan dekat-dekat Felda Bukit Senggeh. Pekan terhampir berjarak setengah jam menaiki kereta. Malam-malamnya selalu sunyi tapi meriah dengan bunyi-bunyi makhluk Tuhan.

 

September -

September datang bersama Ramadan. Hari-hari dalam bulan Ramadan saya lebih banyak ada di Asahan.

Aidilfitri pertama tanpa mak, adik, dan kak. Tetap diraikan dengan penuh makna tersendiri.

 

Oktober -

Ujian akhir kursus. Peperiksaan telah menjadi sesuatu yang saya lalui dengan penuh rasa keterpaksaan, bukan lagi rasa-rasa keterujaan macam suatu ketika pada zaman dahulu.

 

November -

Kursus Biro Tatanegara dan induksi. Dalam banyak-banyak kursus, LDK BTN kali ini terasa paling mengesankan dan tak pernah menjemukan. Mungkin kerana fasilitatornya selalu membuat saya berada di fasa perasan dan berperasaan.

 

Disember -

Awal-awal Disember adalah hari-hari akhir saya di Melaka. Ia akan jadi tempat yang dirindukan. Kalau bukan sekarang suatu hari nanti.

Abg am bertunang.

Kak anan masuk wad. Simptom biasa untuk trimester pertama.

Diberitakan yang tak lama lagi saya akan ada ibu tiri. Dengan izin Tuhan.

Harijadi ahmad. Dia hadiahkan diri sendiri telefon 3G dengan gaji sebagai pembantu siak dan hasil jualan air setiap hari Jumaat. Ok. Saya pun tak mampu.

Beberapa kawan semaktab berlainan opsyen dapat berita tentang posting. Hosmet saya seorang di Terengganu, seorang di Kedah, seorang di Perak. Seorang lagi di Ulu Tembeling Pahang. Sekolah orang asli yang untuk ke sana perlu menaiki bot selama lima jam. Bot pula hanya ada pada hari ahad. Oh. Tau apa saya rasa? Cemburu.

Saya akan ke Sarawak.

 

 

Itu cerita 2008. Seperti menaiki roller-coaster; pantas, laju, mendebarkan, mengujakan. Satu detik emosi saya berada di aras yang paling tinggi dan detik berikutnya saya sudah di kedudukan paling bawah. Berulang-ulang. Bayangkan perasaan menaiki roller-coaster yang tak berapa gila dalam satu perjalanan panjang, seronok kan?

 

Tutup buku.

Sekadar dedikasi - Dzulfikri

 

Untuk teman masa kecil saya, Fikri.

 

Yang pernah belajar dalam kelas yang sama, di darjah satu, dua dan tiga.

 

Yang pernah sama-sama mengutip biji saga, dan menjadikannya memori yang masih melekat di hati meski tersamar oleh memori-memori yang datang selepasnya.

 

Yang pernah saya lukiskan untuknya sesuatu yang saya sendiri sudah lupa apa dan bila.

 

Yang pernah mencari saya, dengan segenap harap dan asanya.

 

Yang pernah menyanyikan lagu-lagu untuk saya, di waktu dulu dan setelah dewasa.

 

Yang pertama mengenalkan saya pada rasa seorang laki-laki, kepada seorang perempuan.

 

 

 

 

Cerita sedih.

Kadang-kadang kita jarang mahu cerita tentang sesuatu perkara, orang, peristiwa, tempat  atau apa-apa pun bukan kerana mereka tidak ada tempat yang istimewa dalam hati. Tapi sebab mereka kadang-kadang sangat dekat sampai kita rasa kita tak perlu dan tak mampu mahu tulis apa-apa tentang mereka. 

Apapun, kadang-kadang aku tulis juga.

Bila mak tiada, mustahil aku tak sedih.

Waktu tu, waktu mak sakit, aku rasa mahu berhenti KPLI. Tangguh pengajian. Supaya aku akan ada lebih masa untuk mak. Walaupun aku rasa mak macam takkan lama ada di dunia, tapi aku masih juga mahu berharap mak akan hidup lama. Bila doktor kata mak cuma ada enam bulan, aku kata dalam hati doktor bukan Tuhan. Mungkin mak akan hidup sampai enam tahun lagi. Tapi aku tak berani mahu beritahu siapa-siapa aku mahu tangguh pengajian. Aku tak mahu mak tahu yang aku sudah terasa-rasa mak takkan hidup lama. Jadi aku teruskan juga belajar walau separuh hati aku sudah tidak ada di Melaka.

Bila aku sedih, aku teringat ayah. Sebelum aku lahir, ayah dah lebih dulu hidup dengan mak. Tiga puluh dua tahun. Campur zaman bercinta dua tahun. Jadi tiga puluh empat tahun. Ayah orang yang paling rapat dan paling lama bersama mak. Kalau aku sedih, ayah tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat kak. Kak tentu lebih sedih. Dia anak sulung. Anak sulung selalu yang paling rapat dengan mak. Mak pula pergi sebulan sebelum tarikh nikah kak. Lepas mak tiada, kak beritahu aku, kak pun sudah terasa-rasa yang mak takkan hidup lama. Tapi kak selalu berdoa biarlah mak hidup lama sikit. Biar mak sempat tengok majlis kak. Tapi mak pergi dulu. Kalau aku sedih, kak tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat kak dilah. Kak dilah dalam banyak-banyak anak mak dialah yang paling selalu buat mak geram. Memang dia macam itu. Tapi waktu mak sakit, dialah yang berusaha itu-ini carikan ubat untuk mak. Dia yang bawa mak ke hospital sana-sini untuk kesan apa sebenarnya penyakit mak. Yang akan bercakap dengan doktor-doktor di hospital itu pun dia. Malah dialah yang lebih dulu tau apa sebenarnya sakit mak dan dialah yang terlebih dulu menangis sebelum orang lain menangis. Kalau aku sedih, kak dilah tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat kak paliah. Kak paliah anak mak yang paling taat. Dia anak mak yang paling patuh. Dia menjaga mak lebih dari orang lain. Yang akan memandikan mak setiap hari dan selalu-selalu mewudhukkan mak adalah dia. Dia anak perempuan mak yang selalu ada di rumah dan setiap kali balik dari kerja tak akan pernah jemu menegur mak. Kalau aku sedih, kak paliah tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat abg am. Abg am lelaki yang tak banyak cakap. Juga tak banyak karenah. Dari kecil sampai besar dia selalu menjadi abang yang baik kepada aku dan adik-adik, adik yang baik kepada kakak-kakak. Tentu juga dia anak yang baik kepada mak dan ayah. Waktu nafas mak terhenti, abg am yang mula-mula sekali kesat-kesat air mata. Dia menangis di waktu anak-anak perempuan mak belum menangis. Kalau aku sedih, abg am tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat ahmad. Ahmad meski bukan yang bongsu tapi dialah yang paling manja dalam keluarga. Dan orang yang paling sering memanjakan ahmad adalah mak. Ahmad jarang menguruskan mak. Sebab dia sudah ada ramai kakak dan abang. Kalau di hospital pun dia jarang lama-lama menunggu mak di wad. Tapi aku tau dia sangat risaukan mak. Cuma dia tak tahu bagaimana mahu menunjukkan rasa kasihnya kepada mak. Dia tak pernah bercerita dengan sesiapa tentang apa yang dia rasa. Dia pun tak akan menangis di depan orang. Tapi cukuplah dengan melihat air muka dan matanya, aku sudah dapat mengagak apa yang dia rasa. Kalau aku sedih, ahmad tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat adik. Adik satu-satunya anak mak yang tak ada di sisi mak saat mak meninggalkan dunia. Adik sampai waktu jenazah mak sudah selamat dikebumi, maghrib yang syahdu dengan suara tahlil untuk mak. Adik sampai, beri salam, capai kopiah dan terus ke masjid. Tak ada kata-kata basa-basi. Tak ada cerita-cerita tentang susah-payah dia transit di beberapa tempat semata-mata untuk balik ke Malaysia. Adik nampak tenang. Tapi entah berapa banyak air mata adik yang tumpah sepanjang dalam kapal terbang. Aku tak tahu. Kalau aku sedih, adik tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat noorsyam. Noorsyam kawan sebilik aku di sekolah Serting. Ibu noorsyam meninggal dunia sebab strok. Tiba-tiba. Sedang malam sebelumnya dia masih boleh bercakap-cakap dan senyum-senyum dan ucap selamat malam kepada noorsyam sebelum esok paginya Noorsyam hanya bertemu dengan ibunya yang terbaring tak bernyawa. Dia menangis sewaktu bercerita dengan aku dalam telefon. Dan aku pun ikut sama menangis selepas itu. Sekurang-kurangnya mak pergi selepas aku diberi masa untuk bersedia. Kalau aku sedih, noorsyam tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat zati. Zati kawan aku waktu di UM. Zati lebih dulu melalui apa yang aku lalui. Yang berbeza cuma latar, masa dan keadaan. Dia anak sulung. Dengan adik-adik yang ramai dan masih sangat kecil. Bila ibu sudah tiada tentulah tugas-tugas dan tanggungjawab seorang ibu itu beralih kepada dia. Kalau aku sedih, zati tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat kak aini. Kak aini kawan sebilik aku di Melaka. Dia masih ada mak. Tapi dia ada pengalaman menjaga ayah yang sakit sampai ke hayat akhir. Selang setahun selepas pemergian ayah, kakak kepada kak aini yang selama ini diharap-harapkan untuk membantu keluarga ikut sama pergi. Aku masih ingat kata-kata kak aini dalam sebak dan linangan air mata di suatu malam yang sunyi, “Bila dua orang yang kita sayang dah tak ada, pergi pula dalam jarak masa yang dekat, rasa macam putus asa..”. Kalau aku sedih, kak aini tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat sera. Sera penulis blog yang sangat aku suka meski aku dan dia tak pernah pun mengenali. Dia selalu bercerita tentang depresi. Banyak kali dia ceritakan tentang rasa-rasa rindu yang amat sangat kepada ibu. Ibu kepada sera sudah tiada sejak dia masih kanak-kanak. Sekurang-kurangnya aku ada banyak memori dengan mak untuk dikenang-kenang sedang sera hanya ada bayang-bayangan yang kemudian menjadi rindu yang sakit. Kalau aku sedih, sera tentu lebih sedih.

Bila aku sedih, aku teringat kusnani. Kusnani murid tahun tiga di Sekolah Masjid Baru yang pernah diajar oleh aku. Pernah suatu hari dia bertanya, “Cikgu ada mak dengan ayah?”. ”Ayah saya meninggal waktu saya pra-sekolah. Lepas ayah meninggal, abang saya jadi jahat, dia selalu marah-marah saya, dia melawan cakap mak. Dia minum arak..”. Dia bercerita dengan sangat tenang dan aku yang baru kehilangan mak waktu itu cuba-cuba juga membaca perasaan dia. Dia masih anak kecil. Tapi dalam usianya yang semuda itu dia telah merasa luka sebuah kehidupan. Kalau aku sedih, kusnani tentu lebih sedih.  

Bila aku sedih, aku teringat sekian ramai lagi manusia yang bersedih, yang sama-sama bersedih, yang telah terlebih dulu sedih, yang terlebih-lebih sedih, dan sekian ramai lagi manusia yang tak suka melihat aku bersedih. Aku meminjam kekuatan mereka. Lalu kesedihan itu menjadi suatu beban rasa yang ringan dan tak menekan.

Sedih itu rasa-rasa biasa dalam hidup. Kalau kita tak pernah sedih bermakna kita tak pernah kenal erti gembira. Kalau kita tak pernah gembira, kita pun tak tau bagaimana mahu memaknai rasa sedih.

Apapun, hidup macam itulah. Terbina atas pelbagai rasa dan rahsia.

Yang hilang biarkan hilang.

Rumah aku kena masuk pencurik.

Satu-satunya barang berharga, err.. maksud aku barang yang laku kalau dijual yang aku ada Alhamdulillah tak hilang.

Ada la wang ringgit bernilai ribu-ribu hak milik ayah, abg am dan amad hilang.

Dvd player dengan kamera digital pun dia angkut.

Ada orang pesan, lain kali simpan barang berharga, duit-duit kat dapur. Dalam tin biskut, bekas gula garam, laci megi, etc.. Ataupun dengan barang-barang yang bersangkut-paut dengan tandas. Sebab kalau pencurik masuk, dia akan target bilik tidur utama. Pastu geledah segala laci yang ada, terutama laci dekat dengan katil, atau cermin solek. Tempat lain mungkin agak kurang menyelerakan bagi si pencurik.

 

Kak paliah : Rasa dia nak cari barang kemas.

Che’wani : Rumah kita mana ada barang kemas, semua barang bersepah.

Hahahaha.

Hidup memang penuh warna-warni.

 

~novel yang tak rugi dibeli~

 

Sejak dulu aku merasakan dunia ini bukan hanya hitam dan putih. Dunia penuh dengan warna-warna.

Aku tak mahu tulis komen panjang-panjang tentang novel ini. Sebab nanti komen aku akan menjadi tulisan-tulisan sepanjang novel pula. Lagipun, membaca sendiri dengan mata dan hati lebih seronok daripada mendengar cerita orang perantara.

Ia sebenarnya cerita yang sangat-sangat aku suka.  

Membaca buku ini buat aku tiba-tiba merasa genius. Juga aku merasakan aku sebenarnya punya bakat luar biasa.

Jadi bila kakak aku yang nombor tiga tiba-tiba bising mencari sepit baju untuk dijadikan sesendal akibat periuk nasik elektrik yang gagal berfungsi kerana suis di badannya mengalami kegagalan untuk berada di paras ‘cook’, aku merasakan aku seorang genius yang boleh menyelamatkan keadaan.

Dengan pandangan mata seorang genius dan langkah yang penuh berkeyakinan lagak seorang ilmuwan ulung, aku dengan begitu bersahaja melihat bahagian dalam periuk nasik yang telah membantutkan proses menanak nasik buat santapan tengah hari itu.

Dalam kiraan dua saat, aku sentuh spring dasar periuk seolah-olah aku sangat arif hal ehwal penciptaan periuk nasik elektrik tersebut dan maha tahu asbab periuk itu tiba-tiba bermasalah.

Periuk nasik elektrik itu pun serta-merta berfungsi seperti sediakala. 

Aku rasa aku genius.

Hujan Aidiladha.

Malam ke pagi, sampai tengah hari. Membawa ke petang. Hujan buat langit kelam. Aidiladha ini hari yang dingin dan suram meski bukan hari yang muram. Sedih atau gembira, hari raya tetap hari yang istimewa.

Saya teringin mahu tengok upacara korban. Err, ibadat korban. Masjid selang tiga buah rumah dari rumah saya itu sembelih sepuluh ekor lembu. Tapi sebab hari hujan saya rasa lebih suka duduk-duduk di rumah, membayangkan darah pekat keluar membuak-buak waktu pisau tajam mengerat urat darah pangkal tengkuk haiwan terbabit. Saya suka tengok darah. Melihat darah buat saya jadi lapar. Saya ada gigi taring. Tapi saya bukan vampire (walaupun kecik2 dulu saya pernah berangan bercinta dengan drakula).

Ohh.. entri ini patutnya entri yang serius. Bukan main-main. Bukan cerita lawak. Ok. Begini ceritanya.

Tempat : Madrasah Persaudaraan Islam SS4B Kelana Jaya

Suasana : Pagi yang sejuk. Hujan renyai-renyai. Nasik lemak di kejauhan  berasap-asap dan sedang dinikmati oleh sekumpulan belia dengan penuh selera, tidak terlalu lahap.

Watak : MA (Wanita pertengahan usia merangkap jiran paling rapat)

            KP (Kakak saya yang nombor tiga)

            CW (Pakai tudung tak berapa matching dengan baju)

 

MA : Ayah ada bagitau apa-apa tak kat rumah?

KP : Entah, mcm tak dak.

CW : Tak tau. Saya baru balik dari Melaka.

MA : Macam ni, makcik ikutkan kalau boleh tak nak la lagi.. Ye la, baru lagi kan. Tapi ada orang pernah tanya Cik Mad. Cik Mad kata “Ada calon ka?”. Kalau ayah tak nak, takde la kami tolong carikan..

KP : Ya ka?

CW : (angguk-angguk. pura-pura konsentret. buat-buat senyum.)

MA : Bukan apa, boleh tengok-tengokkan ayah kat rumah..

MA : Ada kwn makcik ni, dia dah tanyakan kawan dia. Orang tu setuju. Khadijah namanya. Elok la. Sebelum ni Aishah, yang ni Khadijah. Asal orang Ipoh. Dia pun sebaya dengan arwah mak dulu, anak dah besar-besar dah.

CW : (senyum).

MA : Kami pun kalau boleh nak cari orang yang baik-baik, yang boleh masuk dengan anak-anak..

CW : (senyum lagi).

MA : Nanti tanya la ayah mcm mana. Makcik pun dah suruh makcik Khadijah tu buat solat istikharah.

 

 

[Owhh.. Makcik itu dan orang-orang surau itu siapa mahu masuk campur dan sibuk-sibuk urusan rumahtangga orang. Ustaz-ustaz di surau yang ada empat isteri itu memang selalu suruh ayah kahwin lagi. Siap dihujahkan dengan hadis dan dalil. Siap beriya mahu tolong carikan. Yang asal dari Siam pun mereka boleh datangkan. Cakap saja mahu balu, janda, hatta anak dara sekalipun. Tapi, tapi, ayah tak pernah pun kata apa-apa. Mak baru enam bulan pergi. Macamlah kami anak-anak ayah tak boleh jaga ayah. Kak Paliah ada di rumah. Saya pun sudah balik ke rumah. Memang ayah makin kurus. Ayah kurus sebab rindukan mak. Bukan sebab kemaruk mahu nikah lagi.]

Saya rasa saya patut pikir macam itu. Tapi, tapi, dalam pikiran saya waktu itu; biarlah. Apa salahnya. Terserah pada ayah. Jiran-jiran dan tetangga dan orang-orang surau itu semuanya prihatin. Bagus juga ada mak tiri, boleh saya belajar memasak. Saya pun akan dapat abang dan kakak tiri, maka keluarga saya pun akan bertambah ramai. Tak sangka saya sungguh positif.

Bercerita dengan Kak Hanan, dia pun sama macam saya. Anak-anak perempuan ayah memang cool (berlagak cool mungkin). Kami masih boleh bergelak ketawa dan merancang mahu buat persembahan joget depan rumah dengan lagu “Ayahku kahwin lagi”.

Kita tengok pula maklumbalas pihak lelaki.

Abg Am : (diam. takde respon)

Abg An (abang ipar saya) : Hangpa cakap la macam tu depan ayah. Mau ayah marah satgi. Cuba tengok cara ayah. Tiap-tiap hari duk belek, susun, simpan gambaq mak.

Ahmad : Tak best la.

Adik : (berita ni belum dikhabarkan pada adik).

Ayah? Saya tak tahu isi hati ayah. Tapi saya tahu ayah berbelah bagi. Sejak emak tiada, orang yang paling sedih tentulah ayah. Yang paling akan mengingati emak setiap hari pun sudah tentu ayah.

Hujan masih turun. Tanah sentiasa basah. Kubur emak masih merahkah?

Al-Fatihah.